Wednesday, May 2, 2007

berpinau mateku~~

saat ini ..
aku blur tatau nk buat ape dan aku rase nk menulis .. tapi aku rase baik aku taip je dan bole aku paste
dalam blog aku yg lame dah terabai tu .. aku sangat2 takde mood utk menaip kat blog .. bukan ape selalu nye aku menulis ttg diri aku , perasaan aku dan perkara2 yg tak patut org tau ttg hidup aku .. dan aku rase aku lagi suka tulis kat notebook aku yg serabai dgn nota2 @ conteng contengan yg tah ape2 .. tak feel la org kate kalo tulis2 takleh conteng2 kat tepi2 tuuu ..

1..2..3..4..5..6.. yeah 6 hari saje lagi tgl tuk aku siapkan final year project aku nie .. tatau la cemane.. progress sangat slow la .. sibbaik ade si alitt yg membantu aku .. bukan sikit, byk dia bantu aku siapkan .. tatau laa aku cemane nk balas budi sahabat baik aku sorang nie.. yg mampu aku lakukan adelah menjadi org tengah je utk si alitt n fairy .. dua kapel happy and always will be .. aku doakan korang akan ke jinjang pelamin dan selamat bahagia ke anak cucu .. tak sabar nk tgk baby/ies korang muhhuhuhu !!!
hey ..
mgu lps aku lepak2 ngan kerel sambil membuat keje freelance dia .. uh byk siot aku borak2 ngan dia pasal ermmm byk pasal la jugak kan .. mostly pasal diri sendiri, kawan2 dan life .. so so seronok borak dgn dia .. tak kering idea ar mamat tu .. citer pasal freelance tu.. first time aku buat job dgn kerell tp cam bes la gak.. most of the design mamat tu yg create dan aku kasi komen huha huha then siap then bermula la masalah kiterang nk g print .. terkejar sane sini kendian siap la keje .. alhamdulillah syukur pade Tuhan sbb kasi aku rezeki utk 3 hari buat keje yg memenatkan .. smp aku terpakse bermalam kat umah kerel smp 2 mlm + 1 mlm lagi extra lps deliver printed brochures.. aku rase dia kasi aku too much la sbb aku buat keje skit gile then dpt 45% dari upah keje .. dang!!! tp cam kerell tak kisah so aku assume he's ok with it .. ok di celah2 kiterang buat keje tu kiterang masing2 citer pasal life and prob ar .. share ape yg terbuku kat ati .. kerell jenih senang , tk berat mulut utk kuar kate2 so aku pon be frank jugak la .. kerel kate aku ni jenis optimis dan positif (aku rase same je tu) and dia tak suka ahahaha dan dia jugak kate aku ni jenih soft ar .. people can see from the way i talk and act la .. mmg aku mcm tu pon dan i like the way i am even tho sometimes i feel suck .. but who dun ? mende nie macam biasa, seme org akan rase tu .. kalo org tu normal la .. tp aku rase org gila pon bole rase dia tak suka ape yg dia rase tp dia tak reti nk ckp ..hey org gile juge manusia!!! binatang pon ade rase pressure etc etc kan ..

dan..
aku tak rase menyesal la meluahkan ape yg terbuku dan terbeku kat dalam kepale aku semenjak dua menjak plus bermenjak2 seblom nie kan .. he gave me good advices and stories and support .. ye la kekadang a relief gaks dpt ckp dgn org yg jauh dari kite nyer click dan dapat crite moral yg lain, out of my circle of life ar .. kiterang ckp gak pasal past and future.. dreams and archievements.. love and lust haha .. mcm2 ar tp kiterang nie satu kapal sbb kiterang bukan jenih yg mengejar duit sgt.. takde la tak kejar langsung, cemane nk idup kalo takde duit skang nie kan .. tp bak kate org lek lek sudahhhhhh, asal cukop utk hidup dan selebih nya ikut rezeki la kan .. dan bagi aku, aku ckp kat kerel aku org yg idup hari ini dan mase lampau .. aku tak nampak lagi mase dpn takat nie .. aku nk jd ape? cemane aku nk kaye? nk kaye cemane? mane hala tuju aku? seme tu masih dalam persoalan .. at the end aku stuck jugak dgn pertanyaan yg ade kat desktop yus "ape tujuan kita hidup?" .. that words always pop out from my brain .. no i dun wanna talk bout relegion and faith .. aku tak layak lagi hatta tak elok la kirenye aku ckap .. rase nye baik aku simpan persoalan2 yg terbenak di otak aku ni ..
blur dan blur lagi serta mate bertambah berpinau.. pagi ni mcm sure kantoi kelas aku .. skang nie dah masuk subuh pon .. baik aku solat kejap ye .. 5 min aku taip lagi ----tungguuuuuuuuuuuuuuuu~~

ah!
tenang rase dpt menyelesaikan tugas aku sebagai makhluk si Pencipta .. aku mengharapkan keredhaanNya dan sejahtera serta ketenangan dalam jiwa sebagai balasan .. cukuplah sekadar itu permintaan aku yg tidak seberapa berusaha dalam mendapat nikmat dan berkat dari DIA .. amin .. amin .. amin ya rabbi 'alamin..

ni satu artikel yg aku tak sempat bace lagi yg aku amek dari berita harian online ..

Mencari taraf jihad dalam kerjaya
Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Islam mengharuskan sebarang bentuk pekerjaan asalkan baik, diredai

ALLAH menegaskan matlamat utama penciptaan manusia ialah untuk membangunkan kehidupan, memakmurkan dunia, di samping tugas sebagai khalifah untuk menegakkan Islam di bumi ini. Untuk itu, segala isi alam semesta ciptaan Allah ini diamanahkan kepada manusia untuk dimajukan, dibangunkan dan dimanfaatkan demi kebaikan, kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Seiring dengan amanah dan tanggungjawab yang dipikul, maka manusia berkewajipan untuk bekerja iaitu melaksanakan pelbagai bidang tugas mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing dengan matlamat memanfaatkan segala sumber kekayaan alam semesta yang terhampar di seluruh pelosok permukaan bumi Allah ini.

Menurut perspektif Islam, melakukan apa jua bentuk pekerjaan sebagai sumber mata pencarian hidup itu adalah kewajipan agama bagi setiap Muslim. Ia bermakna apabila seseorang Muslim memenuhi tanggungjawabnya dengan bekerja mencari rezeki halal, dia bukan hanya sekadar memenuhi tugasnya ke atas dirinya dan juga keluarganya, malah dia juga menjunjung perintah Allah.

Lebih jelas lagi, sesuatu pekerjaan yang baik lagi halal tidak kira sama ada bekerja sendiri, mahu pun bekerja makan gaji adalah amalan ibadat di sisi Allah. Oleh itu, Allah memberi ganjaran pahala kepada sesiapa melakukan pekerjaan halal demi menampung kehidupannya dan keluarganya seperti firman-Nya bermaksud: “Dan dikatakan lagi kepada mereka (ahli syurga): Inilah syurga diberikan kepada kamu untuk mewarisinya disebabkan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Zukhruf, ayat 72)

Dalam konteks ini, Islam tidak menentukan apakah jenis pekerjaan seharusnya dilakukan setiap Muslim, sebaliknya Islam mengharuskan sebarang jenis pekerjaan dilakukan asalkan pekerjaan itu baik dan diredai Allah.

Dalam hal ini, Allah berfirman bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Maksud ayat suci menjelaskan pekerjaan yang baik lagi halal amat penting dalam meraih keredaan Allah kerana hasil daripada pekerjaan dilakukan itu bukan hanya dinikmati dalam kehidupan duniawi saja, malah ia terus berlangsung hingga ke hari akhirat. Begitulah konsep pekerjaan dalam Islam yang memandang jauh ke depan sehingga merangkumi kedua-dua tuntutan duniawi dan ukhrawi, sekali gus selaras dengan perintah Allah lewat firman-Nya bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepada kamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluanmu dan bekalanmu) daripada dunia.” (Surah al-Qasas, ayat 77)

Perlu diinsafi bahawa sesuatu pekerjaan dilakukan seseorang Muslim bukan hanya sekadar dianggap sebagai suatu kewajipan agama, malah ia juga berfungsi sebagai suatu kewajipan sosial. Oleh itu, orang yang bekerja adalah orang yang sangat mulia pada sisi agama kerana tidak meminta sedekah atau belas ihsan daripada orang ramai dan tidak juga bergantung kepada orang lain, apatah lagi membebankan orang ramai untuk meneruskan saki baki kehidupan di bumi Allah yang sementara ini.

Ia bermakna bahawa bekerja untuk mencari rezeki halal dan menunaikan segala keperluan hidup untuk dirinya dan keluarganya itu bukan sekadar untuk memenuhi kepentingan individu, bahkan ia turut menyumbang saham ke arah kebajikan, kemakmuran, kesaksamaan dan kesejahteraan hidup umat manusia yang bersama-sama menghuni alam semesta ini.

Oleh kerana sesuatu pekerjaan dilakukan dinilai di sisi Islam sebagai kewajipan agama, maka setiap Muslim wajib melakukan pekerjaan itu dengan penuh ikhlas, beristiqamah, tekun, cekap, bersifat amanah dan jujur agar ia dapat menghasilkan produktiviti yang bermutu dan cemerlang selaras dengan konsep ihsan dianjurkan Islam. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah amat mengasihi seseorang yang apabila melakukan sesuatu kerja, dilakukannya dengan penuh tekun dan sebaik mungkin. (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Namun, taraf kemuliaan sesuatu pekerjaan itu meningkat ke taraf jihad jika pekerjaan dilakukan itu menuntut sebuah pengorbanan besar dari segi nyawa, harta, tenaga dan buah fikiran. Dalam erti kata lain, sesuatu pekerjaan menjadi satu perjuangan jihad jika hasil pekerjaannya itu memberikan sumbangan amat besar ertinya kepada agama, bangsa dan negara.

Keadaan ini selaras dengan kedudukan Islam itu sebagai pancaran rahmat Ilahi ke atas segala isi alam semesta yang bermatlamatkan wawasan mewujudkan negara kebajikan yang memantulkan nilai kehidupan yang baik kepada ummah sejagat.

Bagaimanapun, amat menyedihkan ada segelintir umat Islam tersalah faham mengenai konsep pekerjaan yang sebenarnya menurut Islam. Mereka rata-rata menggariskan matlamat utama mereka dalam melakukan sesuatu pekerjaan ialah untuk mengejar kemewahan dan mengumpul sebanyak mungkin harta kekayaan untuk kepentingan diri dan keluarga sehingga mengetepikan hak Allah yang wajib ditunaikan dan mengabaikan kewajipan sosial sesama masyarakat.

Dalam konteks ini, tidak salah bagi seseorang Muslim mencari harta kekayaan dalam hidupnya, tetapi perlulah diinsafi harta itu pada hakikatnya adalah amanah Allah kepadanya untuk digunakan dan dimanfaatkan megikut jalan yang diredai-Nya.

Dalam hal ini, manusia hanyalah sekadar sebagai pemelihara amanah, bukannya sebagai pemilik sebenarnya terhadap harta itu kerana segala harta kekayaan terhampar di sepanjang permukaan bumi Allah ini hanya dipinjamkan kepada umat manusia. Justeru, sebagai pemelihara amanah dan peminjam, manusia mempunyai tanggungjawab agama dan sosial terhadap harta dikurniakan kepada mereka.

Sehubungan itu, Islam mensyariatkan kewajipan zakat supaya nikmat harta berkenaan dapat dikongsi dan diagihkan bersama orang lain demi kesejahteraan dan keharmonian hidup masyarakat, sekali gus ia satu pendekatan terbaik untuk membantu golongan lemah selain meningkatkan lagi taraf ekonomi masyarakat Islam.

Selain itu, Islam juga menggalakkan umatnya membelanjakan harta pada jalan Allah seperti memberi sedekah, mewakafkan harta, membantu anak yatim, fakir miskin, menderma kepada golongan lebih memerlukan dan sebagainya.

Begitulah mendalamnya hikmah di sebalik pensyariatan kewajipan terhadap harta agar umat manusia dapat menjalani hidup dengan aman, sejahtera dan cemerlang dalam segala lapangan hidup. Tanpa kesedaran dan penghayatan terhadap kewajipan agama dan sosial dianjurkan Islam ini, maka tidak hairanlah wujudnya perlumbaan dan persaingan di kalangan umat manusia dalam mengejar harta kekayaan sehingga tercetusnya perbalahan dan pertumpahan darah.

Mereka sanggup saling jatuh menjatuhkan sesama sendiri, malah membunuh semata-mata berebutkan harta kekayaan. Persaingan negatif yang banyak dipengaruhi unsur penipuan, penindasan, ketamakan, hasad dengki sehingga yang kaya akan terus kaya, manakala yang miskin pula akan tetap sengsara. Akibatnya, masyarakat pincang dan hidup dalam huru hara.

Persaingan tidak sihat ini amat dilarang Islam daripada berlaku dalam kehidupan umat sejagat. Sebaliknya, Islam menggalakkan persaingan positif di kalangan umatnya terutama persaingan dalam mengejar kebaikan atas dasar untuk menyuburkan kehidupan ummah, menjamin kesejahteraan masyarakat, memperbaiki kualiti, mempertingkatkan produktiviti dan memakmurkan kegiatan ekonomi Islam keseluruhannya.

Persaingan dalam Islam sewajarnya diorientasikan untuk menuju ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat. Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan jika Allah mengkehendaki nescaya Dia akan menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang disampaikan kepada kamu. Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal salih). Kepada Allah jugalah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. (Surah al-Maidah, ayat 48)

Demikianlah nilai sejagat dihembuskan Islam mewarnai konsep pekerjaan yang baik dan persaingan sihat dalam kehidupan ummah. Pekerjaan dilakukan seseorang Muslim biarlah dengan matlamat untuk mengisi ruang rahmat dilimpahkan Allah ke atas sekalian hamba-Nya, di samping memelihara adab dan etika kerja supaya dia tetap berada di atas landasan yang diredai-Nya, bukannya mengikut desakan hawa nafsu, ketamakan dan pesona harta dunia yang melalaikan.

INTI PATI
Perspektif Islam mengenai pekerjaan

# Melakukan apa jua bentuk pekerjaan sebagai sumber mata pencarian hidup itu satu kewajipan agama bagi setiap Muslim.
# Sesuatu pekerjaan yang baik lagi halal adalah amalan ibadat di sisi Allah.
# Pekerjaan dilakukan seseorang Muslim bukan sekadar dianggap suatu kewajipan agama, tetapi berfungsi sebagai kewajipan sosial.
# Taraf kemuliaan pekerjaan itu meningkat ke taraf jihad jika
pekerjaan dilakukan itu menuntut sebuah pengorbanan besar.
# Seseorang Muslim boleh mencari harta kekayaan dalam hidupnya, tetapi perlu diinsafi harta itu adalah amanah Allah untuk digunakan mengikut jalan diredai-Nya.
# Persaingan dalam Islam sewajarnya diorientasikan untuk menuju ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.

Penulis adalah Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia.

sekian wasallam warahmatullahiwabarakatuh

No comments: